Monday, March 30, 2009

Orang Politik! Berbaloikah Ini Semua

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin



Disiarkan pada Mar 22, 2009 dalam kategori Politik |

Malas rasanya hendak mengulas keserabutan politik negara kita. Saya yang berada jauh di cerok Lampeter, Wales ini pun terasa betapa serabutnya kerenah politik dalam negara. Kadang-kala rasa letih perasaan hendak membaca berita-berita negara kebelakangan ini. Semuanya tentang kekeliruan politik.

Jika ada berita yang menyejuk jiwa seperti kisah kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal yang berjaya dalam pelajarannya sekalipun dari keluarga miskin, tidak pula menjadi isu hangat untuk diperkatakan oleh masyarakat kita. Mungkin sekadar laporan media untuk sehari dua. Tidak enak barangkali untuk dihidang bersama rakan sebagai jamuan telinga seperti mana sedapnya mendengar cerita kekalutan politik.

Padahal pendidikan dan ilmu diperlukan secara langsung oleh setiap insan, sedangkan politik rakus dan ‘gila kuasa’ hanya untuk mereka yang dimabukkan oleh syaitan. Sehingga saya baca daripada satu sumber berita kononnya dijumpai ‘barangan bomoh’ yang diletakkan di bawah meja Perdana Menteri. Pelik bunyinya kisah-kisah politik kebelakangan ini. Apa yang patutnya rahsia, dikongsi semua. Ada yang patut dikongsi semua, menjadi rahsia.

Maka tertanya sekelian rakyat: “tangan-tangan siapakah gerangan?”. Jika saya yang berada di Lampeter United Kingdom ini iaitu satu kawasan yang dianggap ulu tetapi tenang, menghijau, dengan udaranya yang segar dan masyarakatnya yang agak mesra, pun terasa mual dan loya dengan berita-berita negara kita, apatahlagi perasaan rakyat yang prihatin yang hidup dalam negara.

Atau mungkin rakyat negara kita sudah sampai kepada satu tahap menganggap kisah-kisah kecurangan dan sensasi ahli politik adalah satu hiburan seperti mana kisah-kisah gossip artis. Padahal ada beza antara dua kelompok tersebut. Gossip artis mungkin kesannya tidak seburuk kecurangan ahli politik yang rasuah, salahguna kuasa, memecah belahkan masyarakat hanya atas kepentingan, membazir masa rakyat dan menggadaikan masa depan awam.

Membaca berita ahli politik; tikam menikam sesama sendiri, benci-membenci dalam mengejar kuasa, curahan wang dan harta kerana pangkat semata, dedah mendedah keaiban masing-masing dan berbagai lagi menjadikan dada kusut dan serabut. ‘Sembang-sembang’ mereka penuh dengan sumpah seranah dan permusuhan hanya kerana kuasa.

Kawan-kawan orang politik ramai yang munafik daripada yang jujur. Pujian untuk orang politik banyak yang dusta daripada yang ikhlas. Bak kata ungkapan pantun dalam lagu: Inikah dia lakonan hidup, di pentas dunia insan berpura. Tipu dan daya mencapai maksud, budi dan harta merangkum noda.

Hairan kita dengan orang politik, apakah candu yang mereka telan sehingga mereka sanggup berada di alam yang seperti itu. Apakah yang mereka kejar untuk memperolehinya sehingga mereka sanggup meredah badai kesakitan jiwa dan perasaan yang sedemikian. Apakah mereka mengejar kuasa tanpa bahagia? Atau kuasa bersama derita? Atau biar derita asal berkuasa? Atau mereka sebenar tidak berjumpa dengan nikmat hidup bahagia? Atau mereka bak apa yang Allah firman dalam al-Quran: (maksudnya)

“Oleh itu, janganlah engkau tertarik kepada harta benda dan anak pinak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya mahu menyeksa mereka dengan itu semua dalam kehidupan dunia” (Surah al-Taubah: ayat 55).

Sejarah seantero dunia meriwayatkan cerita-cerita politik itu penuh dengan riwayat sengsara dan derita. Orang yang tamakkan kuasa sebenarnya mengidap sejenis penyakit gila yang mungkin bertindak di luar dari kebiasaan insan yang normal. Dia mungkin berbohong, khianat, rasuah, menzalimi insan lain, bahkan mungkin membunuh atas kegilaan yang luar kawalan. Dia sanggup mengorbankan segala-galanya, hanya kerana kuasa.

Tetapi yang pasti jika diteliti, mereka ini hilang kewarasan, kebahagiaan dan ketenteraman hidup. Jiwa mereka miskin. Bayang-bayang ketakutan atas dosa dan hilang kuasa memburu mereka setiap waktu dan penjuru. Perasaan resah apabila bersendirian tanpa pengikut, atau sendiri bermimpi ngeri bimbang hilang pengaruh. Demikianlah insan apabila Allah dan bayangan hari akhirat itu hilang dari jiwa seseorang insan.

Para pejuang kebenaran kerana Allah juga mungkin derita dan diseksa. Mungkin juga diuji dengan penderitaan fizikal dan tekanan perasaan sebagai insan. Namun, keimanan, keikhlasan dan harapan mendapat ganjaran di sisi Allah sentiasa menjadikan derita itu kecil, bahkan mungkin bertukar menjadi nikmat apabila apabila mengenang bahawa ujian dan bala itu penyebab ganjaran dan pahala serta menghapuskan dosa.

Jiwa mereka besar kerana tempat pergantungan mereka sangat agung. Ini seperti yang sering para pejuang sebutkan: “Jika aku dipenjara maka itu satu kerehatan. Jika dibuang negeri maka itu satu perlancongan dan jika aku dibunuh maka itu bererti syahid. Para pejuang kebenaran sentiasa damai kerana nampak ke mana jalan hendak dituju. Firman Allah dalam Surah al-Nisa’: (maksudnya)

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit maka sesungguhnya mereka pun menderita sakit seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Ugutan, ancaman, penghinaan, kezaliman dan segala rupa kesakitan hidup dirasai oleh orang politik dan bukan politik. Namun antara perbezaan mereka yang berkerja untuk menegakkan kebenaran kerana Allah dan mereka yang berjuang untuk kepentingan tembolok sendiri adalah ketenangan jiwa dan kehalusan perasaan yang penuh syahdu dan lunak yang tidak dimiliki melainkan oleh golongan yang pertama.

Golongan pertama iaitu para pejuang kebenaran kerana Allah, tanpa mengira atas pentas apa mereka berada; dakwah, politik, ekonomi, pendidikan atau apa sahaja, akan melalui kesukaran perjuangan mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah, mengharapkan pahala dan keampunan serta tawakal yang penuh kepadaNya. Samada kemenangan atau ketewasan; semuanya dihayati sebagai nikmat pengorbanan untuk insan kerana Tuhan.

Firman Allah Surah Ali ‘Imran 173: (maksudnya)

“Mereka yang apabila diberitahu oleh orang ramai (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa manusia berkumpul untuk memerangi kamu, maka gerunlah kamu kepada mereka”. (maka berita itu sebenarnya) menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)”.

Sebab itu dalam sejarah kuasa politik sekalipun hebat, gagal untuk menundukkan pejuang kebenaran yang ikhlas. Sekalipun tubuh dan harta para pejuang itu diseksa dan dirampas, tetapi jiwa penguasa juga yang menderita. Namun sejarah terus mencatatkan kedua kelompok itu sentiasa berterusan wujud sekalipun menghadapi berbagai rintangan.

Penegak kebenaran kerana Allah ada di setiap zaman menghadapi segala tribulasi perjuangan kerana memburu keredhaan Allah dan syurga yang dijanjikan. Sementara kelompok yang tamakkan kuasa juga wujud di setiap zaman disebabkan penyakit gila yang meresap ke dalam jiwa mereka. Mereka terbayang pada kuasalah segala keindahan dan keseronakan. Mereka lupa betapa ramai yang berkuasa itu telah hilang nikmat kebahagiaan jiwa. Sabda Nabi s.a.w:

“Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinnan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permualaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Ya, politik bukan semuanya buruk. Berpolitik untuk menegakkan kebenaran serta berpolitik dengan disiplin yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya adalah tuntutan. Kita perlukan orang politik yang melaksanakan tanggungjawab kepimpinan berdasarkan wahyu Tuhan. Namun jika politik itu adalah kisah ketamakan dan kerakusan seperti yang sering kita dengar, ia sebenarnya adalah kisah insan-insan yang hilang bahagia, berpenyakit jiwa dan gila.

Maka ingin kita bertanya kepada mereka ini yang sengit bertarung saban hari: “Berbaloikah semua itu?”

[ Komen saya: Mingguan M`sia tu sapa punya? Umno punya, so no wonder la artikel ni kena gam. Tapi dlm artikel ni, bukan Dr Asri sebut umno pun. Tapi bak pepatah Melayu “Sapa makan cili, dia terasa pedas”. So secara tak langsung, kita dapat tengok wajah umno yang sebenar. ]

Islam: Prinsip Atau Alat?

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Disiarkan pada Mar 15, 2009 dalam kategori Akidah |

Beberapa email saya terima meminta saya menyatakan pendirian kepada media berhubung dengan isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Ada juga yang meminta supaya saya membantu dengan memberikan dalil-dalil dari al-Quran dan sunnah yang membuktikan bahawa perjuangan menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua mata pelajaran adalah perjuangan agama.


Saya berterima kasih atas kepercayaan dan harapan, namun saya menarik nafas panjang dan merasa amat gusar dengan permintaan itu. Amat menakutkan apabila agama ini sering dijadikan alat untuk melariskan atau menghalalkan atau memenangkan sesuatu isu atau cita-cita. Padahal agama sepatutnya menjadi prinsip, bukannya alat untuk mencapai matlamat tertentu.

Saya secara peribadi mungkin boleh menyokong samada bahasa melayu atau bahasa Inggeris menjadi bahasa pengajaran kedua mata pelajaran tersebut. Itu adalah urusan kebijaksanaan dalam kehidupan yang terserah kepada manusia untuk menilainya. Pemerintah ada hak dalam ijtihadnya. Rakyat juga ada hak mencadangkannya. Zaman dan tempat mungkin berperanan dalam menentukan tindakan atau pilihan yang terbaik.

Islam tidak pernah menyatakan kita mesti belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, atau Melayu, atau Arab atau sebagainya. Hanya yang Islam perintah adalah agar muslim bertindak dengan bijak. Menentukan perkara yang seperti ini amat subjektif. Setiap pihak boleh berbeza disebabkan perbezaan latar fikir. Islam tidak menghukum secara putus siapa yang betul atau siapa yang salah dalam hal yang seperti ini. Di sini saya rasa, sekali lagi kena dijelaskan beza antara Islam sebagai prinsip dengan Islam sebagai alat.

Islam sebagai prinsip bererti kita meletakkan Islam sebagai pegangan dan panduan. Kita akan melihat salah atau benar sesuatu berdasarkan kepada prinsip Islam. Kita akan menilai dengan adil setiap perkara dengan timbangan Islam sekalipun jika keputusannya itu tidak berpihak kepada kita, kita tetap akan akur.

Inilah yang diarahkan oleh al-Quran dalam Surah al-Nisa 135: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu..”.

Dalam Surah al-Maidah ayat 8 pula Allah menegaskan: (maksudnya):

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Sementara menjadikan Islam sebagai alat atau umpan adalah mempergunakan Islam sebagai bahan untuk sesuatu tujuan, padahal tujuan tersebut hanya bersifat puak atau peribadi, bukan untuk kepentingan Islam yang hakiki. Nas-nas agama akan ditafsirkan atau disalahgunakan supaya sesuatu pandangan sekalipun tidak tepat, dapat dibela atau dijustifikasikan. Atau agama digunakan agar orangramai tertarik dan percaya kepadanya sekalipun hakikat agama bukan sedemikian rupa.

Inilah yang ditempelak oleh Allah dalam Surah al-Nahl, ayat 116-117: (maksudnya)

Dan janganlah kamu berkata dengan apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. (Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

Malang sekali dalam sejarah umat Islam, kecenderungan menggunakan agama sebagai modal begitu banyak dan berterusan. Kesannya amat bahaya dan mendalam. Bukan sedikit darah dan nyawa yang ditumpahkan kerananya. Umpamanya, Mazhab Syiah dan Khawarij tidak wujud pada zaman Abu Bakr, Umar dan ‘Uthman. Apabila berlaku krisis politik pada zaman ‘Ali disebabkan isu yang berlarutan dari penghujung pemerintahan Saidina ‘Uthman maka lahirlah kedua aliran ini.

Bermula daripada isu-isu politik yang dibangkitkan dari zaman ‘Uthman, merebak menjadi sentimen agama. Sehingga Syiah terbentuk dengan segala doktrin yang tersendiri; daripada isu ‘Uthman berkembang membentuk prinsip-prinsip kepercayaan mengenai Ahlul Bait yang tersendiri. Penindasan yang dialami oleh aliran Syi’ah di bawah kuasa-kuasa politik Bani Umayyah, juga ‘Abbasiyyah menyebabkan berbagai akidah dan dalil baru muncul dalam aliran berkenaan.

Maka disebabkan sejarah politik yang panjang, menjelmalah Syiah dalam wajahnya yang kita lihat pada hari ini. Padahal ia bermula daripada isu yang boleh diselesaikan. Demikian Khawarij, bermula isu tidak puas hati dengan pendirian ‘Ali dalam menghadapi Mu’awiyah, maka terbentuklah Khawarij dari ‘parti politik’, menjadi aliran agama yang mengkafirkan ‘Ali, ‘Uthman, Mu’awiyah dan sesiapa sahaja yang tidak menyertai mereka.

Bagi menjustifikasikan pengkafiran itu, maka satu kaedah yang amat bahaya telah dijadikan pegangan iaitu setiap pelaku maksiat menjadi kafir. ‘Ali dan Mu’awiyyah, bahkan ‘Uthman dianggap tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka semua kafir. Slogan mereka: “Tiada hukum melainkan hukum Allah”. Kata Saidina ‘Ali mengenai slogan mereka: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut : Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).Tumpah darah yang banyak telah berlaku antara tentera ‘Ali dan Khawarij.

Inilah bahayanya menjadikan agama sebagai modal politik atau apa sahaja. Ia boleh berlarutan terutama di kalangan mereka yang jahil sehingga tidak dapat membezakan antara isu politik semata dan isu agama yang sebenar. Jika ia isu politik semata, Islam menyerahkan kepada kebijaksanaan manusia akan menentu keputusan yang memberikan kemaslahatan untuk umat. Jika ia benar-benar isu akidah dan hukum, hendaklah penentu benar dan salahnya adalah al-Quran dan Sunnah bukan pandangan politik kepuakan.

Sebab itu kita wajib membezakan antara berpolitik berdasarkan prinsip Islam, dengan mempolitikkan Islam. Berpolitik berdasarkan Islam akan membebaskan seseorang dari daerah taksub, hukuman membabi-buta, kepuakan dan permusuhan yang melampaui batas dan segala akhlak yang jelek. Hanya yang menjadi teras adalah prinsip Islam. Rela membelakang parti atau puak, asalkan prinsip terbela.

Sementara mempolitikkan Islam bererti menggunakan nas-nas Islam untuk menjustifikasikan tindakan-tindakan politik. Kita akan lihat dalam ‘wayang politik’ sikap mempolitikkan agama akan menyebabkan mereka terbabit hilang pendirian, berubah-ubah prinsip dan etika. Namun yang pasti nas-nas agama akan terus digunakan walaupun akan menyebabkan berlaku kontradiksi yang jelas dalam pegangan mereka.

Dalam sepanjang sejarah, menjadikan agama sebagai modal politik telah dilakukan oleh pihak pemerintah dan pihak yang menentang pemerintah. Dalil-dalil agama pada bukan tempatnya akan digunakan oleh kedua belah pihak bagi mengekalkan pengikut yang mempunyai sentimen agama. Bahkan dalam sejarah, antara sebab kemunculan hadis-hadis palsu adalah politik.

Maka muncul hadis palsu yang menyokong Syiah, menyokong Muawiyah, menyokong ‘Abbasiyyah dan seumpamanya. golongan yang menggunakan agama yang ‘lahapkan habuan dan pangkat’ ada di mana-mana. Mereka ini bersedia untuk mendendangkan dalil bagi menghiburkan slogan atau tindakan pemerintah.

Sebagai tindakbalas, golongan agama yang menentang pemerintah juga akan melagukan nas-nas agama bagi menghalalkan tindakan mereka menentang sesuatu pemerintahan. Hilanglah fungsi agama; daripada ia agama hidayah yang membimbing manusia bertukar menjadi alat yang memboleh manusia pijak di atasnya untuk sampai ke matlamat mereka.

Berpolitik berdasarkan agama memang tanggungjawab kita. Namun kita wajar berhati-hati, jika terleka kita akan tergelincir menjadi mempolitikkan agama. Seperti berniaga berdasarkan prinsip Islam memang diperintahkan. Namun berhati-hati, jangan sampai memperniagakan Islam. Justeru itu, bezakanlah antara menjadikan Islam sebagai prinsip, dengan menjadikan Islam sebagai alat. Bezakanlah antara berpolitik berdasarkan Islam dengan mempolitikkan Islam.

Thursday, March 5, 2009

FIQAH DAULAH DALAM PERSPEKTIF AL-QURAN DAN SUNNAH

FIQAH DAULAH DALAM PERSPEKTIF AL-QURAN DAN SUNNAH

Oleh Dr Yusuf al-Qardhawy



5. ISLAM POLITIK



Apakah Urusan Politik Suatu Kemungkaran?



Secara teoritis, politik adalah suatu ilmu yang memiliki urgensi dan kedudukan tersendiri. Secara praktikal, politik adalah suatu profesion yang memiliki kehormatan dan manfaat tersendiri, kerana ia berkaitan dengan usaha menangani urusan manusia dengan cara yang sebaik-baiknya.



Al-Imam Ibnul-Qayyim mengutip perkataan Al-Imam Abul Wafa` bin Usail Al-Hambali, bahawa politik adalah suatu amal, yang dengannya manusia boleh menjadi lebih dekat kepada perbaikan dan lebih jauh dari kerosakan, selagi tidak bertentangan dengan syariat.



Ibnul-Qayyim menyebutkan, "Politik yang adil tidak akan bertentangan dengan apa yang ditetapkan syariat dan sejalan dengannya, bahkan politik merupakan sebahagian dari syariat. Kami menyebut politik kerana mengikuti istilah yang kalian pergunakan. Yang pasti, ia adalah keadilan Allah dan Rasul-Nya."[5]



Para ulama kita terdahulu telah memaparkan nilai dan keutamaan politik, hingga Al-Imam Al-Ghazali pernah berkata, "Dunia ini merupakan ladang akhirat. Agama tidak menjadi sempurna kecuali dengan dunia. Pemimpin dan agama merupakan anak kembar. Agama merupakan dasar dan penguasa merupakan penjaga. Sesuatu yang tidak mempunyai dasar tentu akan roboh, dan sesuatu yang tidak mempunyai penjaga tentu akan musnah."[6]



Mereka mendefinasikan imamah atau khilafah sebagai berikut: Suatu perwakilan secara umum dari pembawa syariat iaitu Rasulullah s.a.w untuk menjaga agama dan mengatur dunia. Jadi khilafah adalah penjagaan dan sekaligus pengaturan (politik).[7]



Rasulullah s.a.w adalah seorang politikus, di samping sebagai mubaligh, pengajar dan hakim. Baginda adalah pemimpin daulah dan pemimpin umat. Begitu pula Al-Khulafaur-rasyidin yang mengikuti jalan baginda. Mereka mengatur umat secara adil dan baik, berdasarkan ilmu dan iman.



Tetapi manusia pada zaman sekarang, khususnya di negeri kita ini (maksud al-Qardhawi ialah di negeri dia ie timur tengah), justeru merasa takut terhadap politik dan sesuatu yang berbau politik, kerana banyaknya masalah yang mesti dihadapi dalam dunia politik dan tatkala berhadapan dengan orang-orang yang terlibat di dalamnya, baik politik para imperialis, para penguasa yang suka berkhianat dan sewenang-wenang. Mereka tidak suka terhadap masalah politik, terutama setelah falsafah Michaveli menguasai dunia politik. Hingga mereka begitu mesra dengan kenyataan Syaikh Muhammad Abduh, setelah dia mencicipi (mendalami) makar (tipu daya) politik seperti yang telah dicicipinya: "Aku Berlindung kepada Allah dari masalah politik, dari orang yang menekuni dunia politik dan orang yang terlibat urusan politik dan orang yang mengatur politik dan orang yang diatur poltik."



Maka setelah itu musuh-musuh pemikiran dan harakah Islam sibuk mempengaruhi manusia agar memicingkan (pejam) sebelah mata terhadap politik dan lari darinya, lalu menyifati Islam yang universal dan saling melengkapi ini dengan sebutan "Islam Politik".



Kini sudah menjadi hal yang biasa, bahawa segala sesuatu yang menjadi ciri khusus orang Muslim yang diberi sebutan "Politik", dengan tujuan agar dia mencela politik dan lari darinya.



Ada sekelompok remaja Muslimah yang berhijab pergi ke Moroko untuk menemui seseorang yang cukup terpandang dalam kancah agama dan politik. Mereka mengadu kepada orang tersebut tentang beberapa fakulti yang mengsyaratkan kepada mereka agar melepaskan hijab. Oleh kerana itu mereka meminta bantuan kepadanya agar mereka terbebas dari syarat yang memaksa mereka untuk melepaskan hijab dan mengenakan pakaian pendek yang diharamkan Allah dan Rasul-Nya. Tetapi betapa terkejut remaja-remaja Muslimah yang komited ini dibuatnya, kerana tokoh agama dan politik itu berkata, "Pakaian yang kalian kenakan itu tidak hanya sekadar disebut hijab, tapi ini adalah pakaian politik."



Sebelum ini pernah ada seorang sekular terkenal di Tunisia yang berkata tentang hijab wanita, "Itu adalah pakaian segolongan tertentu."



Ada tokoh lain yang berkata tentang solat di tanah lapang, "Solat ini bukan Sunnah, tapi solat politik."



I`tikaf di masjid pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan dianggap sebagai i`tikaf politik.



Maka tidak mustahil jika suatu saat nanti ada yang menyebut solat di masjid sebagai solat politik, atau membaca pelbagai kisah peperangan seperti dalam buku Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam atau pun Imta`ul Asma` ataupun kisah peperangan di dalam sahih Al-Bukhari disebut sebagai bacaan politik.



Bahkan bacaan Al-Qur`an, terutama pada surah-surah tertentu disebut sebagai bacaan politik. Kita tidak pernah lupa bukti yang diajukan untuk menyudutkan sejumlah tersangka, iaitu kerana mereka hafal Al-Anfal. Apa pasalnya? Kerana Al-Anfal adalah surah jihad. Dalam kesempatan lain dalil yang diajukan adalah surah Ali Imran, kerana surah ini berbicara tentang cubaan, sabar dan keteguhan hati menghadapinya.



Dari sini kita tahu bahawa Islam seperti yang disebut para westernis dengan istilah "Islam politik" justeru merupakan Islam yang benar seperti yang disyariatkan Allah di dalam Kitab dan Sunnah-Nya, serta yang diterapkan Rasulullah s.a.w dan Al-Khulafaur-rasyidin. Inilah Islam, yang Allah tidak menerima agama selain-Nya.



Nota:



[5] Ath-Thuruq Al-Hukmiyah Fis-Siyasah Asy-Syar`iyah, Ibnul Qayyim, m.s. 13-15



[6] Ihya Ulumiddin, 1/17



[7] An-Nazhariyatus-Siyasah Al-Islamiyah, Dr Dhiya`uddin Ar-Rais, m.s. 125