Thursday, March 5, 2009

FIQAH DAULAH DALAM PERSPEKTIF AL-QURAN DAN SUNNAH

FIQAH DAULAH DALAM PERSPEKTIF AL-QURAN DAN SUNNAH

Oleh Dr Yusuf al-Qardhawy



5. ISLAM POLITIK



Apakah Urusan Politik Suatu Kemungkaran?



Secara teoritis, politik adalah suatu ilmu yang memiliki urgensi dan kedudukan tersendiri. Secara praktikal, politik adalah suatu profesion yang memiliki kehormatan dan manfaat tersendiri, kerana ia berkaitan dengan usaha menangani urusan manusia dengan cara yang sebaik-baiknya.



Al-Imam Ibnul-Qayyim mengutip perkataan Al-Imam Abul Wafa` bin Usail Al-Hambali, bahawa politik adalah suatu amal, yang dengannya manusia boleh menjadi lebih dekat kepada perbaikan dan lebih jauh dari kerosakan, selagi tidak bertentangan dengan syariat.



Ibnul-Qayyim menyebutkan, "Politik yang adil tidak akan bertentangan dengan apa yang ditetapkan syariat dan sejalan dengannya, bahkan politik merupakan sebahagian dari syariat. Kami menyebut politik kerana mengikuti istilah yang kalian pergunakan. Yang pasti, ia adalah keadilan Allah dan Rasul-Nya."[5]



Para ulama kita terdahulu telah memaparkan nilai dan keutamaan politik, hingga Al-Imam Al-Ghazali pernah berkata, "Dunia ini merupakan ladang akhirat. Agama tidak menjadi sempurna kecuali dengan dunia. Pemimpin dan agama merupakan anak kembar. Agama merupakan dasar dan penguasa merupakan penjaga. Sesuatu yang tidak mempunyai dasar tentu akan roboh, dan sesuatu yang tidak mempunyai penjaga tentu akan musnah."[6]



Mereka mendefinasikan imamah atau khilafah sebagai berikut: Suatu perwakilan secara umum dari pembawa syariat iaitu Rasulullah s.a.w untuk menjaga agama dan mengatur dunia. Jadi khilafah adalah penjagaan dan sekaligus pengaturan (politik).[7]



Rasulullah s.a.w adalah seorang politikus, di samping sebagai mubaligh, pengajar dan hakim. Baginda adalah pemimpin daulah dan pemimpin umat. Begitu pula Al-Khulafaur-rasyidin yang mengikuti jalan baginda. Mereka mengatur umat secara adil dan baik, berdasarkan ilmu dan iman.



Tetapi manusia pada zaman sekarang, khususnya di negeri kita ini (maksud al-Qardhawi ialah di negeri dia ie timur tengah), justeru merasa takut terhadap politik dan sesuatu yang berbau politik, kerana banyaknya masalah yang mesti dihadapi dalam dunia politik dan tatkala berhadapan dengan orang-orang yang terlibat di dalamnya, baik politik para imperialis, para penguasa yang suka berkhianat dan sewenang-wenang. Mereka tidak suka terhadap masalah politik, terutama setelah falsafah Michaveli menguasai dunia politik. Hingga mereka begitu mesra dengan kenyataan Syaikh Muhammad Abduh, setelah dia mencicipi (mendalami) makar (tipu daya) politik seperti yang telah dicicipinya: "Aku Berlindung kepada Allah dari masalah politik, dari orang yang menekuni dunia politik dan orang yang terlibat urusan politik dan orang yang mengatur politik dan orang yang diatur poltik."



Maka setelah itu musuh-musuh pemikiran dan harakah Islam sibuk mempengaruhi manusia agar memicingkan (pejam) sebelah mata terhadap politik dan lari darinya, lalu menyifati Islam yang universal dan saling melengkapi ini dengan sebutan "Islam Politik".



Kini sudah menjadi hal yang biasa, bahawa segala sesuatu yang menjadi ciri khusus orang Muslim yang diberi sebutan "Politik", dengan tujuan agar dia mencela politik dan lari darinya.



Ada sekelompok remaja Muslimah yang berhijab pergi ke Moroko untuk menemui seseorang yang cukup terpandang dalam kancah agama dan politik. Mereka mengadu kepada orang tersebut tentang beberapa fakulti yang mengsyaratkan kepada mereka agar melepaskan hijab. Oleh kerana itu mereka meminta bantuan kepadanya agar mereka terbebas dari syarat yang memaksa mereka untuk melepaskan hijab dan mengenakan pakaian pendek yang diharamkan Allah dan Rasul-Nya. Tetapi betapa terkejut remaja-remaja Muslimah yang komited ini dibuatnya, kerana tokoh agama dan politik itu berkata, "Pakaian yang kalian kenakan itu tidak hanya sekadar disebut hijab, tapi ini adalah pakaian politik."



Sebelum ini pernah ada seorang sekular terkenal di Tunisia yang berkata tentang hijab wanita, "Itu adalah pakaian segolongan tertentu."



Ada tokoh lain yang berkata tentang solat di tanah lapang, "Solat ini bukan Sunnah, tapi solat politik."



I`tikaf di masjid pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan dianggap sebagai i`tikaf politik.



Maka tidak mustahil jika suatu saat nanti ada yang menyebut solat di masjid sebagai solat politik, atau membaca pelbagai kisah peperangan seperti dalam buku Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam atau pun Imta`ul Asma` ataupun kisah peperangan di dalam sahih Al-Bukhari disebut sebagai bacaan politik.



Bahkan bacaan Al-Qur`an, terutama pada surah-surah tertentu disebut sebagai bacaan politik. Kita tidak pernah lupa bukti yang diajukan untuk menyudutkan sejumlah tersangka, iaitu kerana mereka hafal Al-Anfal. Apa pasalnya? Kerana Al-Anfal adalah surah jihad. Dalam kesempatan lain dalil yang diajukan adalah surah Ali Imran, kerana surah ini berbicara tentang cubaan, sabar dan keteguhan hati menghadapinya.



Dari sini kita tahu bahawa Islam seperti yang disebut para westernis dengan istilah "Islam politik" justeru merupakan Islam yang benar seperti yang disyariatkan Allah di dalam Kitab dan Sunnah-Nya, serta yang diterapkan Rasulullah s.a.w dan Al-Khulafaur-rasyidin. Inilah Islam, yang Allah tidak menerima agama selain-Nya.



Nota:



[5] Ath-Thuruq Al-Hukmiyah Fis-Siyasah Asy-Syar`iyah, Ibnul Qayyim, m.s. 13-15



[6] Ihya Ulumiddin, 1/17



[7] An-Nazhariyatus-Siyasah Al-Islamiyah, Dr Dhiya`uddin Ar-Rais, m.s. 125

No comments:

Post a Comment